Nusna's Blog
Entries Owner
Aku bukan lelaki yang dulu.
✿ Friday, April 05, 2013 ✿ 0 Comment (s)


Hembusan angin pagi membelai pipiku. Keindahan padi yang menghijau mencarik seribu macam perasaan di dalam hati kecil dan kosong ini. Aku  terasa seakan-akan diberi nafas baru untuk terus menghirup secangkir kehidupan baru. Kehidupan yang dahulunya tampak kelam dan suram kini disinari cahaya dan aku yakin cahaya ini pastinya akan kekal dan tidak akan hilang seperti dahulu. Aku memandang langit biru dan bermonolog sendirian di dalam hati membayangkan betapa agungnya kuasa yang Maha Pencipta menjadikan setiap yang berada di langit dan di bumi dengan begitu sempurna sekali. Dia menciptakan setiap manusia dengan akal dan merekalah yang menentukan sama ada hendak menggunakan nikmat yang satu itu dijalan yang baik atau buruk.


“Naufal,mengapa kau menangis nak?”, sapa ibu.
“Eh,ibu. Maaflah tak sedar ibu datang. Menangis?”, jawabku sambil mengusap pipi yang basah dengan titisan air mata.

“Jangan menangis,nak.”, kata ibu.

“Baiklah,naufal senyum ye ibu? Ibu,naufal laparlah.”, balasku.
“Makanan semua dah siap. Jom bersarapan”, tuturnya.

Aku mengikuti gerak langkah ibu dengan perasaan yang penuh syahdu. Rasa syukur benar-benar terbit jauh di dalam sudut hati apabila masih diberi peluang untuk menatap wajah ibu yang pernah aku robek perasaanya suatu ketika dahulu. Aku melukai sekeping hati yang tulus menyayangi dan mencintaiku. Tidak mampu aku gambarkan betapa dalamnya penyesalan aku melukai hati insan-insan yang menyayangiku. Namun aku tahu bahawa sehebat mana pun sesalku itu,aku tetap tidak dapat menghidupkan dia yang telah pergi menghadap Ilahi. Ayahku.

“Woi,kau ni tahu minta je tapi takda pun duitnya. Apa kau fikir aku ni makan pasir ye setiap hari?”, marah Sufri.
“Aku takda duit lah. Aku bukannya bekerja”, balasku.

“Kalau kau dah tahu diri kau tak bekerja,kau sepatutnya cari cara untuk dapatkan duit. Ni bukan kali pertama aku bagi kau tanpa bayaran tapi kali ketiga. Memang kita kawan baik tapi aku pun perlukan duit !”, lancar tutur katanya.


            Aku bergegas pulang ke rumah kerana aku sudah tidak mampu menahan ketagihan aku dengan najis yang kotor itu. Motor yang aku tunggangi seakan-akan sudah sampai kepada hadnya yang paling laju. Pintu rumah diketuk berkali-kali dan akhirnya ibu membukanya dengan badannya yang masih dibaluti telekung manakala ayah pula hanya melihat dengan kerlingan tanda memahami keinginanku. Dia mengetahui bahawa aku tidak akan menjejakkan kaki ke rumah itu melainkan ketika aku mahukan wangnya. Di dalam keadaan ketagihan yang melampau itu,aku mendesak ibu supaya memberi aku wang untuk membeli dadah.


“Aku nak duit lah orang tua ! Cepat bagi aku duit kau ! Duit yang kau simpan banyak-banyak tu pun tak habis dipakai “, jerit aku kepada ibu.
“ Naufal ! Jangan biadab dengan ibu kau ! “, kata ayah dengan nada yang tegas.

“Duit tu ibu simpan sebagai simpanan untuk menunaikan haji dengan ayah kau, Naufal. Bertahun-tahun ibu simpan duit tu dan kau pula nak menghabiskannya?”, soal ibu dengan linangan air mata.
“Aku tak kisah! Aku nak duit!”, lantang kata-kataku.


            Aku menguak pintu masuk dengan seluas-luasnya lalu berlari menuju ke bilik mereka. Ibu menarik tanganku namun aku sempat menepis tangannya dan menolaknya jatuh terduduk di tepi meja telefon.


“Naufal! Kau sudah melampau! Aku takkan biarkan kau ambil duit simpanan aku!”, tutur ayah.

“Pergi matilah kau orang tua!”, ucapku seakan-akan seperti sudah tiada walau secalit iman pun di dalam diri.


            Ayah mengejarku lalu menampar mukaku dengan seluruh kudratnya. Di saat itu,terasa benci dan marah menyelinap masuk dengan begitu cepat di dalam sekujur tubuhku. Sakit tamparan itu tidaklah sesakit perasaanku ketika itu lantas aku mencapai tongkat yang diletakkan disebelah katilnya dan menuju ke arahnya. Dia kelihatan tergamam dengan tindakanku lalu berundur ke belakang untuk menyelamatkan ibuku daripada berhadapan dengan amukanku.

“Nak,ingat Allah!”, seru ibuku.

“Ah,sudahlah. Kau dan dia tu penganggu hidup aku! Kau tak pernah sayang aku! Kalau kau cuba halang aku,aku akan pukul kau dengan tongkat ini”, jeritku.

Aku berlari ke almari ibuku lalu mengambil kotak perhiasannya kerana duit simpanan mereka tidak dapat aku temui dan barang kemas yang belum digadai itu dapatku agak harganya mampu mencecah ribuan ringgit. Aku tersenyum puas dan segera meluru keluar ke muka pintu. Teriakan suara ayah daripada belakang langsung tidak menghentikan jejak langkahku lantas aku segera menyarung selipar yang berselerakan di laman rumah dan mula beredar.

“Naufal,jangan kau pergi! Kembali semula ke sini! Jangan ingkar!”, jerit ayah.
“Jangan menyibuk hal orang!”, kataku.

Aku cuba melintasi jalan besar itu secepat mungkin dengan harapan kelibat ayahku akan segera hilang daripada pandangan dan aku sanggup membahayakan nyawaku melintasi kereta-kereta yang bergerak laju. Daripada kejauhan telahku lihat susuk tubuh Sufri yang sedang melambai-lambaikan tangannya ke arahku dan aku berasa gembira kerana penantianku akan berakhir sebentar lagi. Namun demikian,aku juga sedar bahawa ayah masih lagi berada di belakang mengejarku namun aku mengendahkannya. Aku mempercepatkan hayunan langkahku kerana aku tahu ayah tidak mampu untuk melangkaui kelajuan gerakku.


“Doommm!”


             Bunyi hentakan yang kuat itu menghentikan langkahku dengan serta-merta. Aku berpaling ke belakang dan melihat sekujur tubuh terbaring di tengah jalan dengan yang darah membuak-buak keluar daripada mulutnya. Aku terpaku seketika dan dapatku rasakan tanganku menggeletar saat dia berpaling memandang wajahku lalu menghembuskan nafasnya yang terakhir dengan hembusan yang sukar sekali. Ibu meraung di sisi ayah lantas memanggil namaku agar mendekatinya. Dengan perasaan yang bercampur-baur,aku melarikan diri mengikuti Sufri yang turut melihat kejadian itu.


“Ayah kau!”, kata Sufri.
“Aku tahu. Aku tak nak balik. Jom pergi cepat”, jawabku.

Aku menetap buat sementara waktu di rumah Sufri dan turut berjinak-jinak menjalankan kegiatan mengedar dadah bersamanya. Tidak dapat dinafikan bahawa aku memperoleh pulangan yang amat lumayan dan tidak pernah aku bayangkan untuk mendapat duit sebanyak itu. Kegiatan haramku itu berjalan hampir setahun namun tidak dapat bertahan lama kerana Sufri berjaya diberkas oleh pihak berkuasa. Selepas Sufri ditahan,aku melarikan diri dari satu tempat ke tempat yang lain kerana takut ditahan oleh pihak berkuasa. Aku juga mengalami masalah ketagihan yang tidak mampu dikekang kerana aku sudah tidak mempunyai bekalan dadah untukku sedangkan aku memerlukannya setiap hari. Apabila aku sudah tidak mampu untuk menahan ketagihan ini,aku cuba untuk membunuh diri dengan menerjun daripada bangunan lima tingkat itu namun berjaya diselamatkan oleh orang yang melalui kawasan itu. Akhirnya, mereka menghantarku ke pusat pemulihan dan aku menetap di sana selama setahun.

“Naufal,kenapa tercegat lagi tu? Tadi kata lapar nak makan?”, tanya ibu.

“Oh,maafkan Naufal. Naufal teringat kenangan lama. Terlupa dunia realiti sekejap”, balasku.

“Apa yang baik daripada pengalaman dulu ambillah sebagai teladan dan yang buruk jadikanlah sempadan”, tutur ibu.

“Baiklah ibu. Ibu,ayah akan maafkan Naufal ke ibu? Naufal taknak jadi anak derhaka”, balasku dengan nada yang sayu.

“Sejahat-jahat manapun Naufal dulu, Naufal tetap anak dia. Sejahat-jahat manapun Naufal di mata orang, di mata dia, Naufal sentiasa yang terbaik”, jawab ibu dengan linangan air mata.


“Ibu, Naufal berjanji takkan mengulangi lagi apa yang telah terjadi. Naufal taknak kehilangan orang yang sayangkan Naufal untuk kali kedua”, kataku kepada ibu.

“Terima kasih, Naufal. Ibu sayang Naufal dunia dan akhirat. Semoga kita dapat bina keluarga yang bahagia meskipun ayah telah tiada.”, balas ibu pendek sambil mengesat air mataku.

P/S : Setelah berbulan tak post entri baru. Akhirnya terbitlah entri pendek ni saya ;)

Dashboard Follow

Nusna's



"Quiet people have the loudest mind"

◕ Entries ◕


◕ Comment ◕

*


*